CERPEN - PESAN AYAH

Saturday, November 05, 2016 RahimAim21 0 Comments

CERPEN - PESAN AYAH

Pesan Ayah
Ihsan Gambar : (LINK)

          Aku menundukkan pandangan, memerhati butiran pasir pantai yang ku kuis dengan kasut sukan peninggalam arwah ayah. Terasa bagai semalam sahaja ayah pergi meninggalkan kami. Sungguh, walaupun sudah hampir 5 tahun ayah pergi, namun, kehibaan yangku rasai tetap sama dan tidak pernah berubah. Andai sahaja waktu itu boleh diputar. Andai sahaja masa itu boleh diundurkan. Andai sahaja aku ikut pesanan ayah dahulu.
          Ayah pernah pesan, "kita ini manusia yang cepat lalai dengan kesenangan, namun, merungut ketika datangnya ujian". Ketika itu, aku tidak faham. Aku sekadar membiarkan sahaja pesanan ayah itu berlalu pergi. Aku begitu yakin bahawa aku merupakan manusia yang tidak mudah lalai andai kata kesenangan menerpa hidupku. Aku yakin bahawa aku mampu jaga diriku, tanpa perlu mendengar nasihat daripadanya. Namun, semuanya sekadar imaginasi palsu yangku cipta buat diriku semata. Aku lalai, aku khilaf.
          Semuanya bermula sewaktu aku kali pertama diterima kerja di sebuah syarikat yang terkemuka di ibu negara. Nama syaikat tersebut biarlah kekal rahsia. Kerana kisah ini, adalah tentang diriku dan juga pesanan ayahku. Biarlah ianya kekal dalam skop cerita yang aku ingin coretkan buat kalian.
          Gaji yang ditawarkan buatku ketika itu sekitar RM 2,500 tidak termasuk elaun. Cukuplah buat menampung diriku seorang diri di kota raya ini. Tolak duit rumah sewa yangku kongsi dengan 5 orang rakanku yang lain, tolak duit minyak motor, masih berbaki sekitar RM 2,000. Mana tidaknya, aku tiada sebarang komitmen lain seperti membayar duit kereta. Motor yangku guna sekarang pula, sudah lama habis dibayar sejak zamanku di university lagi. Baki RM 2,000 tersebut, aku berikan separuh daripadanya kepada ayahku dan separuhnya aku simpan untuk perbelanjaan makan dan harianku. Begitulah rutin harianku setiap bulan. Duit gajiku, ku olah sebaik mungkin agar aku tidak terdesak di kemudian hari.
          Sehinggalah suatu saat, semuanya berubah sekelip mata. Mataku mula dikaburkan dengan keindahan dunia. Semuanya tampak indah belaka. Kata orang, nak tahu tentang diri seseorang itu, tengoklah dengan siapa mereka berkawan. Tapi, setelah apa yang berlaku, aku tidak bersetuju dengan kata-kata tersebut. Aku tidak mahu terkena buat kali yang kedua. Cukuplah sekali. Cukup! Aku dah serik!
          Aku berkenalan dengan Linda melalui Amir, rakan sepejabatku yang agak senior daripadaku. Katanya, Linda telah lama memerhatikanku, Linda telah lama memendam rasa terhadap diriku. Aku yang mendengar perkara tersebut melalui Amir, semesti terkejut yang amat sangat. Mana tidaknya, tiada angin mahupun hujan, tiba-tiba sahaja ada perempuan yang menaruh hati terhadap diriku. “Kenal pun tidak, macam mana boleh jatuh hati?” getus hatiku.
         Cerita panjang, yang aku pendekkan, Aku dan Linda bercinta sudah hampir 3 bulan. Kami bagaikan belangkas, ke mana sahaja aku pergi, dia pasti pergi. Linda seorang gadis manis, cantik, bertudung litup, menutup aurat hampir sempurna. Boleh dikatakan, Gadis sempurna idaman lelaki. Aku juga tidak terkecuali sewaktu kali pertama aku memandangnya, ketika Amir membawanya berjumpa denganku tidak lama dahulu. Linda bukanlah jenis yang suka meminta, namun aku sahaja yang suka keluar duit untuknya. Kerana jika dibandingkan duit dengan cinta, aku lebih memilih cinta.
          “Arif, jom kita kahwin!”, Aku hampir tersedak sewaktu linda mengajakku kahwin tidak lama dahulu. Ketika itu, aku sekadar mendiamkan diri tanpa memberi sebarang jawapan. Mana tidaknya, baru sahaja 3 bulan kami berkawan dan bercinta, sudah diajaknya aku kahwin? Hati budi pun masih belum kenal sepenuhnya lagi. Aku keliru ketika itu. Aku minta Linda beri aku waktu, dan Linda bersetuju sambil menghadiahkan senyuman manis kepadaku. Senyuman yang cukup manis sehingga mampu mencairkan hati sesiapa sahaja yang memandangnya.
          Aku meminta pandangan Amir berkenaan hal ini. Amir yangku pandang sebagai seorang yang arif dalam soal agama, memberitahuku agar setuju dengan permintaan Linda memandangkan ianya perkara yang baik dipercepatkan. Amir juga memberitahuku bahawa aku beruntung kerana Linda merupakan calon isteri solehah yang terbaik Allah hadirkan buat aku. Aku yang telah hanyut dalam mencintai Linda, menerima baik cadangan Amir tanpa sebarang perasaan was-was serta ragu-ragu.
          Aku mengutarakan hasratku untuk memperisterikan Linda kepada ayah. Namun, jawapan yangku terima, tidak seperti yangku harapkan. Ayah tidak bersetuju malahan membantah keputusanku itu. Sama seperti kali pertama aku memperkenalkan Linda kepada ayah tidak lama dahulu. Ayah kekal membantah tanpa memberitahuku sebab musabab yang akal logikku dapat menerimanya. Aku kekal membantah, juga kekal meluahkan ketidak puas hatianku. Kami bergaduh serta bertegang tekak pada malam itu. Tanpa rasa bersalah, aku pergi meninggalkan ayah pada malam itu. Namun, semua ujian turun secara serentak pada malam itu. Semua ujian yang takku duga, takku pinta.
          Entah mengapa, pada malam itu, aku pulang ke rumah lalu membuka televisyen untuk menonton berita. Untuk hilangkan kemarahanku terhadap ayahku mungkin? Atau sekadar untuk menenangkan hatiku sehinggalah aku tertidur. Aku sendiri tidak tahu.
          Ketika aku mula untuk melelapkan mata, secara tiba-tiba telingaku menangkap dua nama yang tidak asing dari hidupku hasil daripada berita yang diwartakan melalui skrin televisyenku ketika ini. Pasti korang sudah dapat mengagak bukan? Pasti korang sudah tahu siapa mereka bukan? Ya, mereka adalah Amir dan Linda. Dua orang insan yang cukup rapat denganku. Dua orang insan yang hampir memusnahkan hidupku! Betul kata orang, jangan nilai manusia daripada luarannya!
          “Pasangan yang dikenali sebagai Asmalinda dan Amir ini di tahan, di rumah sewa Amir atas tuduhan berkhalwat…” Aku yang mendengar berita tersebut, beristighfar panjang sambil memicit-micit kepala sendiri berulang kali. Perlahan-lahan aku membuka mata, melihat wajah kedua-dua insan tersebut yang tertera di skrin telesyen untuk membuktikan kesahihan berita yangku dengar. “Allahu Akbar!” Aku bertakbir dengan penuh terkejut. Sungguh! Aku terkejut dengan apa yang aku lihat dan dengar. Aku seakan tidak percaya dengan realiti yang terbentang di hadapan mata. Aku terus menutup televisyen sepantas mampuku.
          Kesedihanku diganggu oleh bunyi nada dering telefon bimbitku sendiri. Jelas tertera, nama adikku di skrin telefon bimbitku. “Abang, ayah dah tak ada. Abang pulang ya abang? adik tunggu.” Hatiku seakan tertusuk dengan sebilah pedang ketika menerima perkhabaran itu. Aku seakan tidak percaya untuk kali yang kedua. Kenapa ujian datang kepadaku secara bertimpa-timpa? Kenapa Ya Tuhan? Kenapa?!

          “Ayah, semoga ayah tenang di sana. Maafkan Arif kerana khilaf. Maafkan Arif kerana cuba berlagak sombong dengan ayah. Seolah-olah Arif tahu segalanya tentang kehidupan. Seolah-olah Arif lebih kenal siapa diri Arif berbanding ayah kenal diri Arif. Terima kasih ayah untuk segalanya.” Aku sekadar bermonolog di dalam hati setelah lamunan panjangku termati dek kerana namaku dipanggil dari kejauhan oleh adikku. Aku membalas lambaian adikku lalu aku langkahkan kakiku menuju ke arahnya. 




Terima Kasih Sudi Baca...
n_n


Salam UKHUWAH...
ADIOS..
MAASSALAMAH...

0 orang telah tinggal komen: